comscore
Tumpuan :
Sukan

Zii Jia mara ke pusingan kedua Terbuka Thailand

Pemain perseorangan lelaki profesional negara Lee Zii Jia . Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia lulus ujian pertama dalam misi memburu gelaran kedua di Terbuka Thailand selepas melangkah ke pusingan kedua, hari ini.

Pemain ranking ke-10 dunia yang muncul juara pada edisi 2022 itu bagaimanapun dipaksa bekerja keras sebelum melakar kemenangan 21-17, 23-21 ke atas wakil China, Lei Lan Xi pada aksi pusingan pertama di Stadium Nimibutr, Bangkok.

Bekas juara Seluruh England itu akan bertemu pemain Korea Selatan, Jeon Hyeok Jin bagi perebutan tempat ke suku akhir, esok.

Sementara itu, pemain perseorangan lelaki kebangsaan, Leong Jun Hao turut melangkah ke pusingan kedua selepas mengatasi pemain Taiwan, Su Li Yang dalam pertarungan tiga set 14-21, 21-15, 21-17.

Bekas juara remaja Asia itu akan bertemu pilihan keempat kejohanan dari Thailand, Kunlavut Vitidsarn, esok.

Aksi beregu lelaki pula menyaksikan pasangan negara, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King terus menyerlahkan potensi mereka untuk turut melangkah ke pusingan 16 terbaik.

Pasangan ranking ke-64 itu yang muncul naib juara Masters Sepanyol pada Mac lalu bangkit daripada kekalahan set pertama untuk mengejutkan beregu ke-21 dunia dari Taiwan, Lu Ching Yao-Yang Po Han 16-21, 21-13, 21-16.

Mereka akan menentang beregu Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard.

Turut mara ke pusingan kedua adalah satu lagi beregu lelaki kebangsaan, Muhammad Haikal Nazri-Choong Hon Jian yang menewaskan pasangan Scotland, Christopher Grimley-Matthew Grimley 21-16, 21-11 bagi menempah pertemuan dengan wakil Thailand, Pharanyu Kaosamaang-Worrapol Thongsa Nga.

Dalam acara beregu campuran, Roy King dan Hon Jian turut melepasi halangan pusingan pertama bersama pasangan masing-masing.

Roy King-Valeree Siow mengatasi wakil Hong Kong, Lui Chun Wai-Fu Chi Yan 21-19, 21-17 dan akan bertemu bekas juara dunia dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai pada pusingan seterusnya.

Hon Jian-Go Pei Kee pula menyingkirkan wakil tuan rumah, Neuaduang Mangkornloi-Atitaya Povanon 21-10, 21-15 dan akan berdepan Rehan Naufal Kusharjanto-Lisa Ayu Kusumawati dari Indonesia di pusingan kedua.

Nasib bagaimanapun tidak menyebelahi perseorangan wanita negara, K Letshanaa apabila ditunjukkan jalan keluar di pusingan pertama selepas tewas di tangan pemain ranking ke-16 dunia dari Thailand, Supanida Katethong 21-12, 21-10.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini