comscore
Tumpuan :
Sukan

Zii Jia muncul wakil tunggal negara ke pusingan kedua Masters Malaysia

Eizairi Shamsudin / NSTP

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia menyelamatkan maruah Malaysia apabila menjadi satu-satunya wakil negara yang berjaya melangkah ke pusingan kedua pada hari kedua saingan Masters Malaysia.

Ketika semua wakil negara yang beraksi kecundang di tangan lawan masing-masing, pemain nombor 10 dunia itu cemerlang apabila mara ke kelompok 16 terbaik hasil kemenangan ke atas pemain China, Lu Guang Zu.

Zii Jia yang turun ke gelanggang dengan rekod tanpa kalah pada saingan Piala Sudirman, minggu lalu melakar kemenangan 21-12, 21-19 dengan dia mempamerkan kebangkitan sensasi di set kedua pada aksi yang berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil.

“Secara jujurnya saya sebenarnya saya sudah bersedia untuk bermain di set penentuan selepas ketinggalan 11-18 tetapi saya kekal bersabar dan memanfaatkan semua peluang untuk mengutip mata.

“Saya memang yakin untuk menghadapi perlawanan hari ini selepas menghasilkan keputusan yang baik ketika Piala Sudirman. Saya harap momentum ini akan berterusan sepanjang kejohanan ini,” kata Zii Jia selepas tamat perlawanan, semalam.

Eizairi Shamsudin / NSTP

Bekas juara Asia itu akan berdepan pemain Taiwan, Li Chun Yi bagi perebutan tiket ke suku akhir, hari ini.

Terdahulu, kem badminton negara suram selepas empat beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Chan Peng Soon-Cheah Yee See selain beregu lelaki, Tan Wee Kiong-Kian Meng tersingkir di pusingan pertama selepas tewas di tangan lawan masing-masing.

Turut menerima nasib sama pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong dan perseorangan wanita, Goh Jin Wei.

Zii Jia hari ini akan diiringi empat wakil negara yang lain iaitu tiga beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun selain pasangan wanita, Pearly Tan-M Thinaah selepas mereka mengesahkan tiket ke pusingan kedua.

Loading...
Terkini