comscore
Tumpuan :
Sukan

Zii Jia Tiada Masalah Ke Suku Akhir Terbuka Denmark

:Aksi Zii Jia ketika menentang Kanta Tsuneyama pada pusingan kedua Terbuka Denmark hari ini.

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan pemain perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia menepati ramalan apabila masing-masing mara ke suku akhir Terbuka Denmark di Odense, hari ini.

Aaron-Wooi Yik yang juga juara dunia mengesahkan tiket ke kelompok lapan terbaik selepas menewaskan pasangan Perancis, Lucas Corvee-Ronan Labar 21-13, 21-18 dalam aksi pusingan kedua yang berlangsung di Jyske Bank Arena.

Pasangan ranking nombor empat dunia itu akan bertemu beregu India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty untuk perebutan tempat ke separuh akhir, esok.

Sementara itu, Zii Jia yang tampil sebagai pilihan keempat kejohanan mengekalkan rekod tanpa kalah ke atas pemain Jepun, Kanta Tsuneyama apabila menang 21-5, 21-19 untuk mengesahkan tiket ke peringkat suku akhir.

Sebelum ini, pemain nombor tiga dunia itu turut menang dalam dua pertemuan antara mereka di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia 2020 dan Kejohanan Badminton Asia 2022, April lalu yang menyaksikan dia turut muncul juara kejohanan berkenaan.

Bagaimanapun, Zii Jia berdepan ujian sebenar esok dalam perebutan tiket ke separuh akhir apabila dijadual menentang pemain Indonesia, Jonatan Christie.

Dalam saingan beregu campuran pula menyaksikan gandingan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie menewaskan rakan senegara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing 18-21, 24-22, 22-20 untuk menempah pertemuan dengan pilihan kedua dari Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino di suku akhir esok. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini