Tumpuan :
Dunia Seni

Gambar baharu Anita Sarawak ubati rindu peminat

Gambar terbaharu Anita bersama suami yang kini menetap di Las Vegas, AS – FOTO: Ihsan Shuib Taib

KUALA LUMPUR: Setelah 14 tahun menghilangkan diri dari dunia hiburan, penyanyi superstar Anita Sarawak, 72, akhirnya tampil melalui sekeping gambar yang memadam spekulasi mengenai keadaannya.

Gambar bersama suaminya, Mahathir Abdullah, diperoleh Berita Harian (BH) daripada bekas editor hiburan dan perunding konsert, Roslen Fadzil. Foto itu diberikan kepada Shuib Taib, bekas wartawan hiburan The New Straits Times (NST), yang berhubung terus dengan Anita dan Mahathir di Las Vegas, Amerika Syarikat.

Dalam gambar itu, Anita kelihatan ceria dan sihat, menyangkal desas-desus yang mengaitkannya dengan masalah kesihatan seperti kanser. Penampilan beliau yang masih anggun memberikan kelegaan kepada peminat setia.

Namun, Anita menolak jemputan untuk menyertai konsert penghormatan kepada komposer terkenal, Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan, yang dirancang berlangsung di Kuala Lumpur tahun depan. Walaupun pernah merakam lagu Cintamu Muzik Di Hatiku karya Allahyarham, Anita kekal dengan pendirian untuk tidak kembali ke dunia hiburan.

Menurut Roslen, penganjur konsert meminta bantuannya untuk mendapatkan persetujuan Anita pada Oktober lalu. Melalui usaha Shuib yang berhubung dengan Anita dan suaminya, jawapan akhirnya diterima.

“Mahathir memaklumkan melalui pesanan WhatsApp bahawa Anita tetap dengan keputusan bersara dan kini menjalani kehidupan yang lebih privasi dan tenang,” kata Roslen.

Keputusan Anita itu mungkin mengecewakan segelintir peminat, tetapi ia mencerminkan pilihan beliau untuk menikmati kehidupan baharu tanpa tekanan dunia seni.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini