Tumpuan :
Gaya Hidup

Pameran perpaduan budaya versi miniatur

Oleh: Ain Shafiqah Zaki

JELEBU: Seni miniatur sinonim digunakan oleh muzium untuk mempamerkan pemandangan atau suasana zaman silam.

Berbeza dengan Muzium Adat Kuala Klawang, Jelebu, muzium ini memilih pendekatan untuk memaparkan kebudayaan dan perpaduan menerusi miniatur.

Terbahagi kepada empat segmen iaitu citra Malaysia dalam seni miniatur, seni busana tradisional, budaya gastronomi dan budaya sebagai identiti sebanyak 218 koleksi miniatur dipersembahkan.

Ianya terdiri daripada 61 set figura etnik berbusana tradisional, 140 koleksi makanan warisan dan 16 koleksi diorama cara hidup dan sambutan perayaan pelbagai etnik di Malaysia.

Menurut pengarahnya, Hayati Mohamad Zawawi, patung miniatur ini pertama kali dibawa khas dari Kuala Lumpur ke Muzium Adat, khas buat penduduk sekitar Jelebu.

Katanya persembahan miniatur memberi kesan kepada pengunjung kerana penghasilannya mengikut spesifikasi sebenar.

Justeru pameran yang diberi nama ‘Pameran Citra Malaysia dalam Seni Miniatur’ ini memberi pengalaman kepada pengunjung memahami dan mengenali kepelbagaian dalam perpaduan.

“Lazimnya apabila melibatkan pameran mengenai perpaduan, ianya akan dipersembahkan dalam skala biasa.

“Apa salahnya jika kandungan kali ini kami pamerkan dalam bentuk kecil atau mini.

“Buat peminat miniatur, mungkin ini masa terbaik buat anda berkunjung ke muzium ini untuk melihat keindahan, keunikan serta ketelitian yang artis tempatan kami curahkan pada setiap miniatur,” katanya ketika ditemui Buletin TV3.

Pameran berkenaan mula dibuka kepada orang ramai pada 7 November sehingga 31 Disember 2024.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini