comscore
Tumpuan :
Dunia Seni

Pemikiran kritis Seniman Agung menerusi karya seni

Allahyarham Tan Sri P. Ramlee atau nama sebenarnya Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh adalah seniman pertama dari negara ini menerima anugerah tertinggi di peringkat Asia iaitu The Most Versatile Talent, Festival Filem Asia di Tokyo, Jepun pada 1963.

Oleh Mas Zharif Zhafri Aziz Desa

KUALA LUMPUR: Genius tetapi kritis antara ciri yang ada pada Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Tidak kira sama ada filem atau lagu, semuanya mempunyai mesej dan malar segar sehingga hari ini.

Pengkaji turut berpendapat karyanya bukan sahaja menghiburkan, malah berjaya menyatukan pelbagai latar belakang masyarakat.

“Apa yang bos susahkan ? Pakai saja duit office, dapat gaji ganti balik.”

“Hey Saleh, kau jangan cuba ajar aku jadi jahat tau. Seumur hidup aku tak pernah pakai duit office. Itu amanah orang. Yang aku joli, hutang ceti, perempuan dan segalanya aku habiskan harta aku tau!”

“Kalau aku ambil duit office bererti aku tipu harta bapak aku. Bila aku tipu, orang akan tuduh aku pecah amanah. Sekali orang tak percaya dekat aku, sampai mati pun orang tak percaya dekat aku. Ini amaran penghabisan. Kalau kau cuba untuk keluarkan lagi idea nak menjahanamkan aku, kau dan aku putus sahabat !”

Itu antara dialog dalam filem Anak Bapak arahan P. Ramlee yang diterbitkan oleh Merdeka Film Productions pada 1968.

Tidak ramai yang menyedari babak itu dilihat masih relevan hingga kini apabila ia menyentuh salah guna kuasa dan pecah amanah.

Filem Penarek Becha menjadi karya sulung arahannya pada 1955 di Jalan Ampas, Singapura berjaya merangkul pelbagai anugerah seperti Filem Melayu Terbaik dan Pengarah Terbaik.

Filem Penarek Becha menjadi karya sulung arahan Tan Sri P. Ramlee pada 1955 di Jalan Ampas, Singapura berjaya merangkul pelbagai anugerah seperti Filem Melayu Terbaik dan Pengarah Terbaik.

Kisahnya meninggalkan kesan mendalam kerana membawa mesej perbezaan taraf dan penindasan.

Sepanjang hidupnya, P. Ramlee berlakon dalam 66 filem manakala 35 adalah filem arahannya.

33 daripada jumlah itu, Allahyarham berperanan sebagai penulis lakon layar.

Keseluruhan karya yang dihasilkannya sarat dengan subteks atau makna tersirat seperti kritikan sosial kepada masyarakat yang boleh diambil sebagai pengajaran.

“Era filem Melayu pada ketika itu dikenali sebagai era filem P. Ramlee walaupun ramai pengarah yang muncul. Kalau kita rujuk, itu pelakon era P. Ramlee. Alaa era P. Ramlee, zaman P. Ramlee dulu.”

“Itu nak tunjukkan betapa signifikannya P. Ramlee pada pembetukan timeline (garis masa) negara kita sampai era ketika itu pun dipanggil era P. Ramlee. Filem P. Ramlee pun menjadi faktor penyatu masyarakat yang nombor satu di Malaysia.” kata Raihani Mohd Saaid, Penulis dan Pengkaji Filem P. Ramlee kepada Buletin TV3.

Raihani Mohd Saaid, Penulis dan Pengkaji Filem Tan Sri P. Ramlee.

Allahyarham juga disifatkan sebagai pembikin filem yang mempunyai pengamatan baik kerana mampu memahami isu semasa ketika zaman sebelum dan pasca merdeka selain menyelami tahap pemikiran masyarakat.

“Beliau tahu masalah dalam masyarakat apa yang diperlukan pendidikan. Contoh macam Pendekar Bujang Lapuk, dia ada sekolah buta huruf, dia punya pelajar semua tua-tua maknanya dia nak ajak masyarakat masa itu jangan takut dengan sekolah sebab itu ada adegan usik orang itu ini sebenarnya dia nak ajak masyarakat kita jangan takut dengan ilmu, jangan berhenti belajar kemudian beliau menaikkan martabat wanita di mana semua guru dalam filem dia adalah wanita.”

Selain masyhur dalam perfileman, Allahyarham juga hebat menghasil dan mendendangkan 360 lagu yang menerapkan nilai sosial masyarakat, simpati dan empati sehingga kini masih diputar dan dinyanyikan.

“Apabila seorang pemuzik itu mencipta lagu, jadi dia sudah tahu karyanya itu akan dimainkan untuk orkestra. Jadi kalau kita lihat saya ambil contoh, Getaran Jiwa itu kerana muzik yang digunakan chord. Chord memang melangkaui zaman, pada hal P. Ramlee tidak pergi sekolah muzik tetapi melodinya seperti saya cakap penggubah hebat berada di belakangnya dan membuatkan karyanya lagi mahal.” ujar Datuk Mokhzani Ismail, Pengarah dan Penerbit Muzik terkenal ketika dihubungi.

Datuk Mokhzani Ismail, Pengarah dan Penerbit Muzik.

Kehebatannya turut diakui negara luar apabila menerima anugerah tertinggi Asia bagi orang seni iaitu The Most Versatile Talent, Festival Filem Asia di Tokyo, Jepun, pada 1963.

“Orang masih ada lagi menilai, universiti-universiti pun sama. Nak buat research pasal P. Ramlee, pasal lagu-lagu karya, maksudnya kenapa saya cakap brilliant (bijak) sebab nampak hasilnya sampai sekarang orang nak mengkaji, orang masih relevan macam tak terfikir dek akal benda yang lebih 50 tahun karya dia orang masih buat kajian.”

“Pada saya, P. Ramlee itu tiada orang boleh ganti dia.” kata Najua Nasir, cucu P. Ramlee.

Tanggal 29 Mei 1973, dunia seni tanah air muram apabila P. Ramlee menghembuskan nafas terakhir, pada usia 44 tahun akibat serangan jantung di Hospital Besar Kuala Lumpur (Hospital Kuala Lumpur).

Najua Nasir, cucu Tan Sri P. Ramlee.

Ribuan menangisi pemergiannya tat kala jenazah diusung ke Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang, ibu negara.

Walaupun pemergian Allahyarham Tan Sri P. Ramlee kini mencecah lebih setengah abad, jasa dan kemasyhurannya dalam mencorak dunia seni tanah air umpama satu dalam sejuta dan tiada galang ganti.

Ia terbukti dengan kebanyakan karya yang dihasilkannya masih tersemat dalam jiwa dan sanubari masyarakat serta masih kekal relevan sehingga kini.

“Karya seni adalah satu daripada kerja Tuhan. Oleh itu, buatlah sungguh-sungguh dengan penuh kejujuran,” Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini