comscore
Tumpuan :
Tragedi

[VIDEO] 10 pondok pengajian musnah terbakar

 

KOTA BHARU: “Saya berasa sayu melihat penghuni pondok melaungkan azan di hadapan beberapa rumah yang terbakar sebelum pihak bomba datang membantu,” luah Mohammad Zulikhwan Azhar, 24.

Mohammad Zulikhwan adalah antara saksi awal kejadian kebakaran yang memusnahkan 10 buah rumah di Pondok Terusan, Pasir Tumboh, di sini, jam 5 petang tadi.

Dia yang terkejut melihat api yang sedang marak terus menelefon pihak bomba bagi mendapatkan bantuan selain bergegas ke lokasi bagi menghulurkan bantuan.

“Nasib baik, ketika kejadian saya dimaklumkan bahawa semua penghuni rumah terbabit berada di masjid menunaikan solat Asar.

“Saya berada di lokasi kejadian menyaksikan wajah-wajah penghuni rumah yang reda melihat barangan dan harta benda mereka musnah dijilat api.

“Bagaimanapun, keadaan terkawal dan tiada yang bertindak masuk ke rumah kerana akur dengan bahaya dan hanya mampu melaungkan azan sebelum ketibaan pihak bomba,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dia yang berasal dari Kampung Terusan, di sini, berkata pondok pengajian Islam itu hanyalah berjarak 500 meter daripada kediamanya sekeluarga.

10 buah rumah di Pondok Terusan, Pasir Tumboh, di sini, musnah dalam kejadian kebakaran jam 5 petang, hari ini. – FOTO: Ihsan Mohammad Zulikhwan Azhar

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Jainal @ Zainal Madasin, berkata, pihaknya menerima panggilan telefon pada jam 5.03 petang dan terus bergegas ke lokasi kejadian.

“Kejadian membabitkan kebakaran 10 buah rumah dengan anggaran kemusnahan adalah lebih 90 peratus daripada keseluruhan struktur. Kesemua rumah berkenaan adalah separa kekal.

“Kami dimaklumkan hanya lapan rumah yang berpenghuni dan Alhamdulillah, tiada mangsa yang mengalami kecederaan.

“Seramai 22 pegawai dan anggota terbabit dalam operasi ini membabitkan tiga balai iaitu Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Tumboh, Tunjong dan Kota Bharu,” katanya.

Menurutnya, kebakaran dapat dipadam sepenuhnya pada jam 7.01 malam.

Loading...
Terkini