comscore
Tumpuan :
Tragedi

2 wanita maut, 5 cedera nahas pulang sambut hari jadi

Kemalangan di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu menghala ke pusat bandar yang menyebabkan seorang kanak-kanak dan wanita maut.

Oleh Selwam Arjunan

GEORGE TOWN: Dua wanita sekeluarga maut, manakala lima lagi termasuk dua kanak-kanak cedera dalam kemalangan, di sini, awal pagi tadi.

Kejadian berlaku di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu menghala ke pusat bandar George Town dari Jambatan Pulau Pinang, kira-kira jam 3.50 pagi.

Kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Avanza yang dinaiki tujuh sekeluarga itu dipercayai hilang kawalan dan melanggar penghadang jalan.

Mangsa dalam perjalanan dari Juru ke Bukit Gambir, dipercayai selepas meraikan hari jadi salah seorang ahli keluarga mereka.

Dua wanita berusia 25 tahun dan 54 tahun yang tersepit dalam MPV maut di tempat kejadian.

Manakala pemandu lelaki, 26, serta empat lagi penumpang, iaitu dua wanita berusia 35 dan 26 tahun serta kanak-kanak lelaki, 9, dan kanak-kanak perempuan, 6 tahun tercampak keluar dari kenderaan dan mengalami kecederaan.

Penumpang wanita, 26, dan kanak-kanak lelaki, 9, dirawat di zon merah, sementara dua lagi berada di zon kuning di Hospital Pulau Pinang.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Soffian Santong ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

 

Loading...
Terkini