comscore
Tumpuan :
Tragedi

7 Jam Bantu Pindah Mangsa Feri Terkandas

Penumpang feri yang tersadai di perairan jeti Kuala Kedah diberi bantuan pasukan paramedik. – FOTO: Ihsan APMM

ALOR SETAR: “Selama tujuh jam kami menjalankan tanggungjawab sebagai anggota penyelamat,” kata anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Seberang Perai Tengah, Muhammad Ridzuan Abdul Nasir yang terkandas dalam feri akibat air laut surut, petang semalam.

Muhammad Ridzuan, 28, berkata, dalam kejadian jam 2.45 petang itu, dia bersama dua rakan sekerja, Mohamad Alif Mohd Isa, 32, serta Nur Aisya Mohd Shafiee, 20-an dan ahli keluarga dalam perjalanan pulang selepas menghadiri majlis perkahwinan rakan seangkatan di Pulau Langkawi.

Menurutnya, ketika dalam perjalanan pulang ke tanah besar, feri itu terkandas dan gagal bergerak untuk memasuki Kuala Kedah.

Katanya, ketika itu penghawa dingin tidak dapat berfungsi akibat kegagalan enjin menyebabkan penumpang panik dan mengalami sesak nafas.

“Apabila terdengar kanak-kanak menangis dan ada yang mengadu sesak nafas, saya bersama dua rakan dibantu sebahagian penumpang cuba mendapatkan bantuan nelayan berhampiran.

“Sebaik bot nelayan sampai, kami membantu memindahkan kanak-kanak dan bayi, warga emas serta penumpang yang mengalami sesak nafas masuk ke dalam bot,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, semasa proses pemindahan dilakukan, mereka melakukan teknik alih ganti mengikat mangsa dengan jaket keselamatan serta kain pelikat yang diberikan orang awam untuk dibawa turun ke bot nelayan.

Katanya, turut membantu mangsa yang mengalami kesesakan nafas ialah isterinya, Natasya Amira Azme yang juga pembantu pegawai perubatan, serta dua doktor dan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang berada dalam feri.

Muhamad Ridzuan berkata, mereka bertiga turut membantu mengawal keadaan ketika pemindahan warga emas, wanita, ibu mengandung dan kanak-kanak dilakukan ke bot nelayan dan bot Zon Maritim Kuala Kedah.

Katanya, selepas selesai tugas, mereka kemudian pulang ke Pulau Pinang jam 10 malam tadi.

Loading...
Terkini