comscore
Tumpuan :
Tragedi

Ajal sebelum pulang

Motorsikal milik mangsa, Hairul Nizam yang maut akibat dihempap pokok tua ketika kejadian hujan lebat petang kelmarin. FOTO IHSAN PEMBACA

KUALA LUMPUR: “Ayah dalam perjalanan pulang ke rumah bersama adik sebelum tiba-tiba pokok tumbang dan menghempap pahanya, sementara adik terselamat,”

Demikian menurut Amirul Asyraf Hairul Nizam, 26 tahun, anak kepada mangsa pokok tumbang di Taman Maluri, di sini, semalam.

Dalam kejadian 4 petang itu, Hairul Nizam Nawi, 52, menunggang motosikal dan membawa bersama anak perempuannya, Amira Zulaika, 12, selepas anaknya itu habis belajar di pusat tuisyen di Baitulmal di Jalan Perkasa.

Amirul berkata, bagaimanapun, sebaik tiba di tempat kejadian, adiknya terlihat pokok hendak tumbang dan terus memberitahu bapanya dan mereka cuba mengelak, namun batang pokok itu menghempap di bahagian hadapan motosikal.

“Ketika itu, keadaan hujan sangat lebat dan ayah sudah hampir dengan rumah kami di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pudu Ulu.

“Saya dan emak hanya mengetahui kejadian itu jam 4.30 petang selepas ada seseorang menghubungi kami memaklumkan kejadian, menyebabkan emak hampir pengsan,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Menurutnya, dia kemudian bergegas ke lokasi dan sebaik tiba, bapanya sudah dihantar ke Hospital Ampang dan motosikal miliknya itu yang digunakan arwah didapati rosak teruk.

“Ayah memang ada masalah jantung dan selepas dihempap pokok dia sukar bernafas, malah ketika berada di hospital, ayah seperti meracau apabila dia masih ingat kakinya dihempap pokok dan meminta doktor mengalihkannya kerana dia memberitahu kakinya tidak dapat digerakkan.

“Bagaimanapun, ketika menerima rawatan, ayah gagal diselamatkan dan meninggal dunia kira-kira 7.30 malam tadi,” katanya.

Menurut Amirul, motosikal itu satu-satunya kenderaan yang mereka miliki dan hutang pinjaman tinggal lagi dua bulan untuk dijelaskan.

“Selepas ini, sayalah yang akan mengambil alih tanggungjawab menjaga keluarga selepas ketiadaan ayah.

“Selepas urusan di Hospital Ampang selesai ayah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Alam Damai,” katanya.

Dia turut menyifatkan arwah bapanya seorang yang baik dan peramah walaupun tegas dengan anak-anak.

Harian Metro semalam melaporkan enam individu cedera selepas kenderaan mereka dihempap pokok tumbang berhampiran sebuah bank di Jalan Mahkota, Taman Maluri, di sini.

Loading...
Terkini