comscore
Tumpuan :
Tragedi

Bayi Berusia 40 Hari Meninggal Dunia Sesak Nafas

Foto: Metro

SUNGAI PETANI : Bayi lelaki berusia 40 hari meninggal dunia akibat sesak nafas di ruang tamu rumahnya di Taman Merbau, dekat sini hari ini.

Dalam kejadian 5.50 pagi itu, bayi berkenaan yang juga anak sulung disedari bapanya menangis sebelum mengalami sesak nafas.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, bapa mangsa yang melihat keadaan bayinya itu terus membawanya ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dengan menaiki kereta.

“Setibanya di hospital, bayi terbabit terus dimasukkan ke wad zon kuning jabatan kecemasan namun pemeriksaan mendapati mangsa sudah meninggal dunia ketika dalam perjalanan.

“Hasil siasatan mendapati mangsa tidak mempunyai sebarang rekod berhubung masalah kesihatan sejak lahir,” katanya ketika dihubungi.

Zaidy berkata, doktor yang melakukan pemeriksaan juga mendapati tiada sebarang kesan kecederaan pada badan mangsa.

“Setakat ini, siasatan mendapati kes terbabit tidak mempunyai sebarang unsur jenayah dan diklasifikasi sebagai mati mengejut.

“Kita masih menunggu laporan bedah siasat untuk mengenal pasti punca kematian bayi berkenaan,” katanya.–HARIAN METRO

Loading...
Terkini