comscore
Tumpuan :
Tragedi

Bayi Lelaki Akhirnya Meninggal Dunia

Bayi lelaki yang selamat dibedah daripada kandungan ibunya yang maut akibat kemalangan pada Rabu lalu, meninggal dunia hari ini. – FOTO : NSTP

ALOR SETAR : Bayi lelaki yang berjaya diselamatkan menerusi pembedahan kandungan selepas ibunya meninggal dunia akibat kemalangan ketika mengelak ular melintas di Kilometer 29, Kampung Charuk Padang, Jalan Jeniang-Sik-Pedu Rabu lalu, akhirnya meninggal dunia hari ini.

Perkara itu disahkan datuknya, Mansor Adali, 51, yang memaklumkan jenazah bayi lelaki berusia empat hari itu akan dibawa ke rumahnya di Bandar Beris Jaya, di Sik, hari ini.

Beliau berkata, dia sempat menatap wajah cucunya itu yang diberi nama Muhammad Irfan Hidayat Afnan Aliff di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani selepas doktor mengesahkan bayi itu meninggal dunia kira-kira jam 2 petang tadi.

“Saya sempat menatap wajah cucu yang sangat berseri walaupun sudah tidak bernyawa lagi dan doktor sudah berusaha menyelamatkan nyawanya tetapi Allah lebih menyayanginya.

“Jenazah cucu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Beris Jaya, sejurus selepas segala urusan di hospital selesai,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam kejadian jam 4.30 petang Rabu lalu, Nor Hidayah yang sarat mengandung anak kedua meninggal dunia selepas motosikal ditungganginya bersama remaja perempuannya berusia 16 tahun bergesel dengan sebuah kereta PERODUA Axia yang dipandu seorang wanita di Kilometer 29, Kampung Charuk Padang, Jalan Jeniang-Sik-Pedu.

Mangsa dikatakan cuba mengelak ular melintas ketika kejadian menyebabkan dia terjatuh dan meninggal dunia di lokasi.

Bagaimanapun, bayi dalam kandungan wanita itu berjaya diselamatkan menerusi pembedahan di Hospital Sik pada hari kejadian.

Namun, bayi itu kemudian dibawa ke Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) HSAH di Sungai Petani untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Mansor berkata, mereka sekeluarga reda dengan pemergian anak dan cucunya dalam kejadian itu yang dianggap kehilangan sekelip mata.

Katanya, jenazah dijangka dikebumikan bersebelahan pusara ibunya, Nor Hidayah Abdullah, 27, yang meninggal dunia Rabu lalu. –  BERITA HARIAN

Loading...
Terkini