comscore
Tumpuan :
Tragedi

Dua Beradik Maut Terkena Renjatan Elektrik Beriya-Iya Tidak Mahu Ke Sekolah Untuk Jaga Ibu 

FOTO: SK Bandar Baru Bangi/Facebook

DENGKIL: Dua beradik yang maut terkena renjatan elektrik ketika mandi dalam besen takungan air kelmarin, beriya-iya tidak mahu ke sekolah pada Khamis dan Jumaat lalu bagi menjaga ibu mereka yang kurang sihat.

Syakila Hasan, 35, dari Kampung Jeras Tenang, yang bekerja sebagai pencari dan penjual barangan terpakai berkata, kedua-dua anaknya itu hanya duduk di rumah bersama keluarga sepanjang dua hari.

“Mereka cuma keluar ke masjid berhampiran bagi menunaikan solat Jumaat sebelum kejadian di halaman rumah kami pada petangnya,” katanya ketika ditemui di kediamannya.

Dalam kejadian petang Jumaat lalu, Adam Harish Zamri, 10, dan adiknya, Adam Haziq, 9, yang juga murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Bangi, maut selepas terkena renjatan elektrik ketika mandi dalam kolah di luar kediaman mereka.

Syakila berkata, Adam Harish yang pandai memasak, bersungguh-sungguh menyuruhnya menjamah cucur tepung yang disediakannya Khamis lalu.

Sebelum ke masjid kelmarin, katanya, anak kedua dan ketiga dalam keluarga itu turut meminta bapa mereka, Zamri Mohd Ali, 49, menyediakan ayam masak merah yang kemudian dinikmati dengan penuh selera.

Pada hari kejadian, Syakila berkata, dua beradik itu memohon kebenaran mandi di halaman rumah bersama adik bongsu mereka, Adam Hazreil, 7.

“Saya sedang berehat dalam rumah selepas solat Asar sebelum mendengar suara Adam Hazreil meminta tolong.

“Saya bergegas keluar dan terkejut melihat dua anak saya terbaring di halaman rumah tapi saya tidak berani keluar kerana ketika itu air bertakung di tempat mereka mandi… risau kalau masih ada arus elektrik mengalir,” katanya.

Sementara itu, Zamri ada bersama anaknya di hadapan rumah mereka sebelum keluar ke kedai berdekatan membeli barangan keperluan.

“Mereka mandi dalam bekas takungan air dan besen di halaman rumah yang diisi dengan air paip.

“Sebaik saya tiba di rumah, saya nampak Harish dan Haziq terbaring berhampiran ampaian dan besen yang digunakan untuk mandi.

“Ketika saya menyentuh tiang ampaian, memang ada terasa renjatan.

“Anak bongsu saya memberitahu, Harish ingin mengambil tuala di ampaian sebelum terkena renjatan elektrik selepas memegang tiang ampaian yang bersentuh dengan zink bumbung rumah.

“Haziq cuma membantu Harish tetapi turut terkena renjatan dan kedua-duanya meninggal dunia di halaman rumah kami,” katanya dalam nada sedih.

Pasangan itu mempunyai seorang lagi anak iaitu Adam Haikal, 14.–BERITA HARIAN

Loading...
Terkini