comscore
Tumpuan :
Tragedi

Dua Beradik Maut Terkena Renjatan Elektrik Ketika Mandi Dalam Besen

FOTO: SK Bandar Baru Bangi/Facebook

PUTRAJAYA: Dua beradik maut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika mandi dalam besen di pekarangan kediaman mereka di Kampung Teras Jenang, Dengkil, semalam.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof, berkata mangsa dikenali sebagai Adam Harish Zamri, 10 dan adiknya Adam Haziq 9.

Menurutnya, pada 6.30 petang semalam, polis menerima panggilan daripada kakitangan Hospital An Nur, Bandar Baru Bangi memaklumkan menerima dua kanak-kanak dalam keadaan tidak sedarkan diri akibat terkena renjatan elektrik.

Menurutnya, selepas bantuan pernafasan diberikan pihak hospital, kedua-dua kanak-kanak berkenaan disahkan meninggal dunia.

Katanya, hasil siasatan mendapati mangsa adalah anak kedua dan ketiga daripada empat beradik.

Beliau berkata, bapa mangsa yang juga peniaga kedai makan memaklumkan kedua-dua anaknya mandi dalam sebuah besen sebelum dia keluar ke kedai membeli barang keperluan.

“Apabila bapa mangsa pulang ke rumah, dia dapati kedua-dua anaknya tidak sedarkan diri dan ketika kejadian ibu mangsa berada di rumah.

“Bapa mangsa memaklumkan kedua-dua anaknya meninggal dunia berpunca dari renjatan elektrik yang mengalir dari besi penyidai baju,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, kakitangan syarikat Tenaga Nasional Bhd (TNB) yang membuat pemeriksaan mengesahkan kejadian berpunca daripada geseran wayar elektrik di tepi rumah dan terus mengalir ke bumbung zink rumah sebelum ke besi penyidai baju.

“Kedua-dua mangsa maut akibat terkena renjatan elektrik apabila bersentuhan dengan besi penyidai baju yang berada berhampiran tempat mereka mandi.

“Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat,” katanya. – BERITA HARIAN.

Loading...
Terkini