comscore
Tumpuan :
Tragedi

Kasih Seorang Kakak, Meninggal Dunia Ditepi Kubur Adik Ketika Ziarah

Suhaidzra Abd Zahar, 46, meninggal dunia ditepi kubur adiknya ketika ziarah.

ALOR GAJAH: Seorang wanita meninggal dunia ketika menziarahi pusara adik lelakinya di Tanah Perkuburan Islam Lubok China, di sini, semalam.

Suhaidzra Abd Zahar, 46, yang masih bujang, dikatakan rebah secara tiba-tiba di tepi kubur arwah dalam kejadian kira-kira jam 10.45 pagi itu, sebelum disahkan meninggal dunia akibat komplikasi jantung.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu, berkata adik lelaki Suhaidzra, Mohd Hairi meninggal dunia pada 4 November 2021.

“Selepas kematian adiknya, Suhaidzra kerap memandu kereta bersendirian dari Seremban 2 ke kampungnya di Lubok China untuk mengunjungi pusara arwah.

“Namun, semalam ada saksi melihat dia tiba-tiba rebah tidak sedarkan diri di tepi pusara adiknya sebelum dikejarkan ke Klinik Kesihatan Lubok China oleh orang awam, namun disahkan sudah meninggal dunia oleh pegawai perubatan bertugas,” katanya.

Menurut Arshad, Suhaidzra yang bekerja sebagai kerani di sebuah firma guaman di Seremban 2 adalah anak ketiga daripada sembilan beradik.

“Jenazah dibawa ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk tindakan lanjut. Pegawai perubatan mengesahkan dia meninggal dunia akibat komplikasi jantung.
“Siasatan polis juga mendapati tiada unsur jenayah dalam kematiannya dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.—BERITA HARIAN

Loading...
Terkini