comscore
Tumpuan :
Tragedi

Kelindan lori maut dalam kemalangan babitkan tiga kenderaan

Oleh: Baharuddin Mohamed

MELAKA: Seorang kelindan maut selepas lori yang dinaikinya terbabas dalam kemalangan membabitkan dua lagi kereta tiga di Jalan Tebong berhampiran Taman Cahaya, Jasin, malam tadi.

Dalam kejadian jam 11 malam itu, A. Suresh, 37, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di dada.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, ketika kejadian, lori mangsa yang dipandu rakannya, R. K. Gunalan, 37, dalam perjalanan dari arah Air Pasir ke Tebong.

Setiba di tempat kejadian, kata beliau, lori dinaiki mangsa cuba memotong sebuah kereta Proton Iswara di hadapannya yang dari arah sama yang memasuki simpang ke kanan.

“Semasa sampai di lokasi kejadian kereta Proton Iswara yang dipandu lelaki berusia 34 tahun telah membelok ke kanan untuk masuk ke simpang rumah.

“Lori mangsa yang datang dari arah yang sama telah memotong dari arah belakang lalu melanggar hadapan kereta menyebabkan lori terbabit terbabas dan melanggar sebuah lagi kereta yang diletakkan di bahu jalan berumput,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Arshad, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat.

Pemandu lori dan kereta Proton Iswara terbabit ujarnya, bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, kesemua kenderaan yang terlibat ditahan untuk pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Loading...
Terkini