comscore
Tumpuan :
Super Highlight

Kereta rentung, pemandu selamat

Oleh: Baharuddin Mohamed

MELAKA: Seorang lelaki sempat menyelamatkan diri selepas kereta dipandunya terbakar dalam kemalangan di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) berhampiran Terminal Melaka Sentral, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, kereta dipandu lelaki berusia 29 tahun tersebut dikatakan terbabas di pembahagi jalan sebelum terbakar.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Khairudin Atan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian daripada orang ramai pada jam 9.59 pagi.

Beliau berkata, ekoran itu sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah bersama enam anggota bergegas ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi kejadian, kami mendapati sebuah kereta Toyota Vios sedang terbakar namun tiada mangsa dalam kenderaan.

“Kami dimaklumkan, pemandu terbabit sempat menyelamatkan diri sebelum kenderaan itu terbakar.

“Difahamkan, sebelum terbakar kenderaan itu terbabas lalu melanggar pembahagi jalan,” katanya.

Menurut Khairuddin, operasi mengambil masa kira-kira 30 minit sebelum kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya.

Kebakaran itu ujarnya, mengakibat kenderaan terbabit musnah kira-kira 95 peratus namun kejadian itu tidak membabitkan kenderaan lain.

Pemandu terbabit tambahnya, tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Selepas api berjaya dipadam sepenuhnya dan memastikan tiada sebarang kemerbahayaan lain, pasukan bomba kemudian bergerak pulang ke balai,” katanya.

Loading...
Terkini