comscore
Tumpuan :
Tragedi

Kontraktor lemas bot terbalik akibat arus deras

FOTO NSTP

JITRA: Seorang lelaki lemas selepas bot dinaiki bersama dua rakan terbalik di Sungai Tandop, Taman Osman Aroff di sini, hari ini.

Hussain Hassan, 49, ditemui lemas kira-kira jam 4 petang oleh sepasukan anggota Bomba dan Penyelamat yang melakukan pencarian di lokasi kejadian.

Dua rakan mangsa sempat menyelamatkan diri dengan berenang sehingga ke tebing.

Difahamkan, mereka adalah kontraktor yang dilantik syarikat utiliti untuk melakukan kerja pemasangan kabel di permukaan sungai berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan, berkata pihaknya menerima panggilan MERS 999 pada jam 3.20 petang, melaporkan seorang lelaki terjatuh ke dalam sungai dan dikhuatiri lemas.

Beliau berkata, Ketua Polis Balai Jitra, Asisten Superintendan Abi Suhaimi Ali, bersama pasukannya bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra giat melakukan pencarian di sekitar lokasi kejadian.

“Mangsa ditemui dalam sungai berkenaan dan didapati sudah meninggal dunia.

“Mayat dibawa ke darat untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Rodzi berkata, mangsa dan dua rakan sedang melakukan kerja pemasangan kabel elektrik di permukaan sungai sebelum bot dinaiki terbalik berikutan oleh arus sungai yang deras.

“Mayat mangsa dibawa oleh anggota Balai Polis Jitra ke Unit Forensik Hospital Jitra (HJ) untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Loading...
Terkini