comscore
Tumpuan :
Tragedi

Lelaki jadi korban terbaru serangan buaya di Sarawak

Gambar hiasan.

KUCHING: Seorang lelaki dipercayai menjadi korban terbaru serangan buaya di Sarawak apabila dia dibaham reptilia itu di Sungai Seduku yang merupakan anak sungai Batang Lupar di Sri Aman, kira-kira 233km dari sini, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Sarawak berkata sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Sri Aman diketuai Pegawai Bomba Kanan Freddy John bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 10.19 pagi.

Beliau berkata pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dengan bantuan penduduk kampung yang tinggal berhampiran dengan Rumah Panjang Tuntun di Sungai Seduku berkenaan, sehingga kini masih belum menemui Kong Gindi, 47, yang hilang selepas dilarikan buaya dalam kejadian itu.

Menurutnya saksi kejadian, yang merupakan kawan Kong yang dikenali sebagai Saji Thomaa, 52, memberitahu beliau melihat lelaki itu dibaham di bahagian kaki oleh seekor buaya ketika dia sedang mencuci perahu di sungai berkenaan.

Katanya kedua-duanya sedang mencuci perahu semasa kejadian, dengan Saji berada di sebelah kiri perahu manakala Kong di sebelah kanan, apabila tiba-tiba seekor buaya muncul dan menggigit kaki lelaki itu, lalu ditarik ke dalam sungai.

“Semasa pencarian, ada orang kampung ternampak jasad lelaki itu di tebing sungai bersama buaya tersebut, iaitu kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian. Bagaimanapun apabila mereka menghampirinya, buaya itu telah menarik semula lelaki itu masuk ke sungai,” menurut jurucakap itu dalam satu kenyataan. – Bernama

Loading...
Terkini