comscore
Tumpuan :
Tragedi

Lelaki Warga Emas Maut Nahas Dua Treler, Satu Lori

HULU SELANGOR: Seorang lelaki warga emas maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan berat di Kilometer 413.1, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, dekat Lembah Beringin-Bukit Tagar, di sini, awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah, berkata lelaki berusia 64 tahun yang memandu treler Mitsubishi meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati nahas jam 3 pagi itu membabitkan dua treler dan sebuah lori.

Kemalangan berlaku ketika pemandu treler Mitsubishi dalam perjalanan dari Perak ke Kuala Lumpur melanggar bahagian belakang lori Isuzu dipandu lelaki berusia 45 tahun.

“Lori itu kemudian melanggar bahagian belakang treler Volvo yang dipandu seorang lelaki berusia 51 tahun,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Suffian berkata, kemalangan itu menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas selama dua jam sepanjang lima kilometer.

“Bagaimanapun, aliran trafik dibuka semula kepada semua kenderaan jam 5 pagi tadi.

“Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan itu untuk tampil membantu siasatan,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, berkata sepasukan lapan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Sentosa dikerahkan ke lokasi untuk menjalankan kerja penyelamatan.- Berita Harian

Loading...
Terkini