HOME / Tragedi

Lima Mangsa Rentung Dalam Kemalangan Merupakan Pelajar USAS

KUALA KANGSAR: Kelima-lima mangsa yang rentung apabila kereta yang dinaiki mereka terbakar selepas terlibat dalam kemalangan di KM 246 Lebuhraya Utara Selatan arah utara di Kuala Kangsar tengah malam tadi, dikenal pasti sebagai pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS).

Naib Canselor USAS Tan Sri Nordin Kardi berkata pihaknya telah memaklumkan ahli keluarga pelajar berkenaan berhubung kejadian itu, yang berlaku semasa mereka dalam perjalanan pulang dari Ipoh selepas bercuti.

Lima pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) yang maut dalam kemalangan (Iqbal Hasnun Halimi (berdiri belakang kiri), Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan (tengah belakang), Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar (belakang kanan), Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz (depan kiri) dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis (depan kanan).

“Semua mereka adalah pelajar terbaik dan baru melaporkan diri selepas cuti Aidilfitri,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya akan membantu keluarga waris pelajar berkenaan dengan menyediakan tempat tinggal serta keperluan lain sehingga selesai segala urusan.

Difahamkan lima pelajar berkenaan terdiri daripada Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22, yang memandu kereta, Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21, penumpang hadapan, manakala tiga lagi adalah Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20, dan Iqbal Hasnun Halimi, 23.

Muhamad Nasrun dan Iqbal Hasnun merupakan penuntut Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam manakala Ahmad Naim Najmi adalah penuntut Ijazah Sarjana Muda Kaunseling dengan kepujian, manakala Muhammad Nabil Haikal ialah penuntut Diploma Pentadbiran Perniagaan dan Ahmad Akmal penuntut Diploma Kaunseling Islami.

Selain beberapa anggota keluarga pelajar berkenaan, turut kelihatan di Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar ialah Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia Perak, Ahmad Saidi Mohamad Daud dan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri. – BERNAMA