comscore
Tumpuan :
Tragedi

“Mangsa Mungkin Hembus Nafas Terakhir Di Pangkuan Ibu”- Saksi

KUALA LUMPUR: “Saya melihat wanita itu menangis sekuat hati sambil memangku anaknya di riba. Kemungkinan kanak-kanak itu menghembuskan nafas terakhir di pangkuan ibunya,” kata saksi kejadian kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat sembilan Flat Sri Sabah, Cheras di sini, hari ini.

Kejadian berlaku pada 9.50 pagi itu disedari orang awam yang berada di lokasi sebaik melihat kanak-kanak berkenaan tertiarap di bawah bangunan berkenaan.

Wanita yang enggan dikenali itu berkata, ketika kejadian dia mahu ke tempat kerja.

Menurutnya, dia terkedu apabila melihat kanak-kanak perempuan jatuh dari tingkat atas bangunan perumahan awam berkenaan.

“Pada mulanya saya tidak tahu budak itu jatuh dari tingkat yang tinggi kerana tiada bunyi dentuman kuat.

“Seorang lelaki yang turut melihat kejadian kemudiannya menjerit bertanyakan anak siapa yang jatuh. Ketika itulah saya nampak ibunya menjenguk di balkoni di tingkat sembilan dan seperti terkejut kerana mengetahui budak yang jatuh itu adalah anaknya.

“Wanita itu berlari turun dan segera memangku anaknya sambil menangis,” katanya kepada Harian Metro.

Bercerita lanjut, wanita terbabit berkata, dia menghubungi talian kecemasan untuk bantuan sebelum seorang pemandu kereta yang melalui lokasi kejadian membantu membawa ibu dan kanak-kanak itu ke hospital.

Ketika itu, katanya, dia sebak apabila melihat wanita itu mendukung kanak-kanak terbabit yang sudah tidak sedarkan diri masuk ke dalam kereta untuk dibawa ke hospital.

Katanya lagi, dia hanya mengetahui kanak-kanak itu meninggal dunia melalui WhatsApp pada 1 tengah hari tadi.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin dilaporkan berkata, polis menerima laporan mengenai kejadian itu pada 11.54 pagi.

Beliau dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati mangsa terjatuh dari balkoni dapur rumahnya di tingkat sembilan.

Katanya, polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kematian.

Loading...
Terkini