comscore
Tumpuan :
Tragedi

Motosikal Rempuh Kereta, Suami Isteri Maut

Foto hiasan.

IPOH: Sepasang suami isteri maut apabila motosikal ditunggang terbabit kemalangan di KM32.3 Jalan Kuala Kangsar-Gerik-Pengkalan Hulu, Lenggong, dekat Kota Tampan, Lenggong, semalam.

Kejadian kira-kira jam 6.15 petang itu mengakibatkan mangsa, Azranawi Radzi, 42, yang menunggang motosikal jenis KYM maut di tempat kejadian, manakala isterinya, Rosnah Damha, 44, meninggal dunia ketika dirawat di Klinik Kesihatan Lenggong.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood menerusi kenyataan malam tadi, berkata nahas itu turut mengakibatkan seorang remaja lelaki parah akibat patah betis kiri dan bahu kanan.

Siasatan awal mendapati nahas berlaku apabila motosikal ditunggang Azranawi gagal mengelak kereta Proton Iswara yang ingin memasuki jalan utama dari stesen minyak.

Katanya, ketika kejadian pasangan suami-isteri terbabit dalam perjalanan dari Gerik menghala Kuala Kangsar sebelum Proton Iswara tiba-tiba keluar ke arah jalan utama (Jalan lama Kota Tampan-Lenggong) secara mengejut.

“Oleh kerana jarak terlalu dekat, motosikal suami-isteri itu yang berada di laluan sah tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian sisi belakang sebelah kiri kereta,” katanya.

Mangsa yang parah adalah penumpang Proton Iswara iaitu seorang remaja lelaki berusia 14 tahun manakala pemandu kenderaan terbabit iaitu lelaki berusia 47 tahun tidak cedera.

Susulan kejadian itu, polis menahan pemandu Proton Iswara berkenaan bagi meneruskan siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini