comscore
Tumpuan :
Tragedi

Operasi Mencari Dan Menyelamat Juruterbang, Helikopter Hilang Diteruskan

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong, menunjukkan peta dipercayai lokasi terakhir helikopter sebelum terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC). – FOTO : NSTP / Fail

TAPAH : Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang juruterbang bersama helikopter yang terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) sebelum dilaporkan hilang di kawasan Bidor sejak petang semalam, disambung semula jam 8 pagi ini.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, operasi malam semalam terpaksa dihentikan sementara atas faktor cuaca tidak mengizinkan.

“Kita menerima maklumat orang ramai terdengar letupan di Jeram Mengkuang dan ada yang katakan helikopter terbang rendah di kawasan Kampung Kenangan, jadi Pusat Kawalan Tempat Kejadian akan didirikan esok pagi (hari ini) di kawasan pencarian.

“Setakat ini kita tumpukan koordinat diberikan di Hutan Simpan Chikus dan kawasan yang diberikan maklumat oleh orang ramai. Pasukan SAR akan ‘narrow down’ kawasan pencarian pada esok hari,” katanya pada sidang media di Balai Polis Bidor di sini kira-kira 70 kilometer dari Ipoh malam semalam.

Katanya identiti mangsa belum dapat dikenal pasti namun berdasarkan maklumat Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM), hanya seorang juruterbang terlibat dan tiada penumpang yang dibawa menaiki penerbangan helikopter itu.

Difahamkan, juruterbang tersebut bukan warganegara Malaysia dan helikopter itu dipunyai seorang tokoh kenamaan bergelar Datuk.

Sebelum ini, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong memaklumkan, pesawat jenis Eurocopter milik syarikat swasta itu, terputus hubungan pada kira-kira pukul 12.16 tengah hari dengan lokasi terakhir dilaporkan adalah di sekitar kawasan hutan dekat Bidor.

Helikopter itu sepatutnya mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di sini pada 12.37 tengah hari semalam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada 11.37 pagi semalam.

Loading...
Terkini