comscore
Tumpuan :
Tragedi

[VIDEO] Paip bawah tanah bocor punca tanah runtuh di Taman Megah Jaya

Anggota bomba memantau keadaan lereng bukit di Jalan Mega 1/2K Taman Mega Jaya yang runtuh, petang tadi.

KUALA LUMPUR: Kebocoran saluran paip bawah tanah dipercayai menyebabkan kejadian tanah runtuh di Taman Megah Jaya, dekat Pandan Indah, di sini, hari ini.

Kejadian membabitkan runtuhan kawasan lereng bukit berketinggian kira-kira 30 meter itu bagaimanapun tidak menyebabkan kerosakan pada struktur kediaman atau membabitkan kecederaan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, mengesahkan kejadian berlaku di Jalan Mega 1/2K di Taman Mega Jaya itu.

Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pandan digerakkan ke lokasi sebaik menerima panggilan mengenai kejadian itu jam 2.48 petang.

“Kejadian dipercayai berpunca daripada kebocoran paip, berkemungkinan saluran paip bawah tanah. Bagaimanapun punca sebenar masih dalam siasatan.

“Pihak berwajib dan Indah Water Konsortium (IWK) sedang menjalankan kerja penyelenggaraan di lokasi,” katanya melalui kenyataan, hari ini.

Norazam berkata, tiada struktur rumah atau mangsa terbabit dalam kejadian ini dan pihaknya masih melakukan pemantauan memandangkan terdapat sebuah rumah kira-kira 20 meter dari lokasi runtuhan terbabit.

Loading...
Terkini