comscore
Tumpuan :
Tragedi

Pegawai penjara maut dirempuh motosikal

Oleh Baharuddin Mohamed

MELAKA: Seorang pegawai Jabatan Penjara yang dalam perjalanan ke tempat kerja, maut akibat tercampak ke dalam longkang selepas motosikal yang ditungganginya dirempuh sebuah lagi motosikal di Jalan Kampung Pak Alam, Simpang Ampat, Alor Gajah, malam tadi.

Dalam kejadian jam 10 malam itu, Ridzuan Saidin, 34, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di dada.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, sebelum kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Wave dalam perjalanan dari arah Brisu ke Simpang Ampat.

“Setiba di tempat kejadian, tiba-tiba sebuah motosikal jenis Yamaha yang ditunggangi seorang lelaki berusia 21 tahun yang datang dari arah sama merempuh belakang motosikal mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Arshad, akibat rempuhan itu, mangsa yang bertugas di Penjara Satelit Simpang Ampat, tercampak ke dalam longkang.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat.

Seorang lagi penunggang yang merempuh mangsa, jelasnya, mengalami kecederaan di kepala dan menerima rawatan di hospital sama.

Kedua-dua kenderaan yang terlibat ditahan untuk pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).

Kes berkenaan disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Loading...
Terkini