comscore
Tumpuan :
Tragedi

Pekerja Ladang Hilang Disambar Buaya

Anggota bomba mencari lelaki warga Indonesia yang disambar buaya di Sungai Merapok, Lawas, hari ini. | Foto: Ihsan JBPM

KUCHING: Seorang pekerja ladang kelapa sawit di Kuala Lawas, hilang dipercayai disambar buaya di Sungai Merapok, Lawas, hari ini.

Mangsa, Juma Misi, 30, lelaki warga Indonesia dikatakan sedang memancing ketika disambar reptilia itu.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 8.57 pagi tadi.

Beliau berkata, sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas bergerak ke lokasi sejurus menerima panggilan itu.

“Selepas mendapatkan maklumat daripada rakan mangsa berhubung kejadian itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan dengan bantuan dua anggota polis.

“Pencarian menggunakan bot penyelamat dilakukan di sekitar lokasi mangsa dikatakan disambar buaya,” katanya.

Sehingga jam 1 tengah hari ini, pasukan SAR belum menemui sebarang petunjuk berhubung kehilangan lelaki terbabit. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini