comscore
Tumpuan :
Super Highlight

Pekerja syarikat industri maut kereta rempuh pokok

FOTO: Ihsan JBPM

Oleh Baharuddin Mohamed

MELAKA: Seorang kakitangan industri yang dalam perjalanan pulang ke tempat kerjanya di Shah Alam, maut selepas kereta dipandunya terbabas merempuh pokok dalam kemalangan di Jalan Ayer Keroh–Gapam, berhampiran sebuah resort di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 5.45 pagi itu, Mazuin Mohammad, 43, yang memandu kereta jenis Perodua Alza maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Jasin, Asisten Superintendan Mohd Fadzli Othman berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang bekerja di sebuah syarikat industri di Shah Alam dalam perjalanan dari arah Gapam menghala Ayer Keroh.

Sebaik tiba di tempat kejadian, kata beliau, mangsa gagal mengawal kenderaannya sebelum terbabas merempuh sebatang pokok di bahu jalan.

“Akibat rempuhan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Foto: Ihsan JBPM

“Mayat mangsa dihantar ke Unit Perubatan Forensik Hospital Jasin untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurut Mohd Fadzli, mangsa dipercayai dalam perjalanan dari rumah menghala ke Melaka Sentral untuk menaiki bas ke tempatnya bekerja di Shah Alam.

Sementara itu, Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Pegawai Bomba Kanan II Kamarudin Mat Amin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.35 pagi sebelum anggotanya bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, mangsa tersepit di tempat duduk pemandu dan anggota bomba mengeluarkan mayat mangsa sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Loading...
Terkini