comscore
Tumpuan :
Tragedi

Pemancing Tergelincir Ditemukan Lemas

Operasi mencari dan menyelamat mangsa lemas di Sungai Ketil, Taman Wangi, di sini, hari ini.

GUA MUSANG: Seorang lelaki ditemukan lemas selepas tergelincir ketika memancing di Sungai Ketil, Taman Wangi, di sini, hari ini.

Mayat mangsa, Ahmad Raihan Hanif Yusoff, 35, ditemukan pada jam 6.05 petang selepas lebih dua jam operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, mangsa bersama dua lagi rakannya pergi ke sungai terbabit untuk memancing.

Rakan mangsa, Muhammad Syafiq Azmi, 23, berkata, sebelum kejadian dia sudah melarang mangsa supaya tidak datang ke tempatnya yang berada di seberang sungai.

“Sebelum kejadian saya sudah larang mangsa jangan datang ke arah saya yang berada di seberang sungai kerana batu yang licin dan dia tidak pandai berenang.

“Saya sempat mandi dan tiba-tiba terdengar bunyi percikan air yang kuat, mangsa sudah tergelincir dan terjatuh ke dalam sungai.

“Saya sempat menarik tangan Hanif, namun terlepas dan saya juga hampir lemas,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, hari ini.

Menurut Muhammad Syafiq, mereka baru dua hari sampai ke daerah ini untuk bekerja sebagai pekerja kontrak Telekom Malaysia (TM).

Katanya, selepas habis kerja pada jam 12 tengah hari tadi, arwah mengajaknya dan rakannya untuk memancing.

“Mangsa yang ajak kami datang ke sungai ini untuk memancing, sedangkan sebelum ini tidak pernah berbuat demikian walaupun diajak. Ini adalah kali pertama mangsa datang ke sini, manakala saya dan rakan sudah beberapa kali,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Mohd Arifuddin Akif Mohd Noor berkata, mayat mangsa ditemukan kira-kira jam 6.05 petang.

“Mayat mangsa ditemukan tersangkut pada kayu di dalam air dengan jarak 10 meter daripada tempat dia jatuh.

“Komander operasi membuat ‘size up’ kawasan lemas dan melakukan pencarian sekitar kawasan kali terakhir mangsa dilihat. Keadaan sungai berbatu dan kedalaman sungai adalah tidak sekata” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.-HARIAN METRO

Loading...
Terkini