comscore
Tumpuan :
Tragedi

Pemuda patah leher, kereta terbabas dalam parit

Foto Ihsan Bomba – Anggota bomba mengeluarkan mangsa.

KLUANG: Pemuda berusia 19 tahun patah tulang leher selepas Perodua Axia dipandu terbabas dan memasuki parit sedalam kira-kira 4.5 meter di Batu 1.5 Jalan Felda Kahang Barat, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, mangsa kini mendapatkan rawatan di Zon Merah Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang.

“Kenderaan dipandu mangsa dari arah Jalan Kahang Barat ke arah Jalan Padang Tembak hilang kawalan semasa melalui selekoh lalu terbabas ke dalam parit.

“Ketika kejadian permukaan jalan basah akibat hujan dan pemandu mengalami kecederaan parah iaitu patah tulang leher serta luka seluruh badan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pengguna jalan raya diminta memastikan kenderaan dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan dan memandu dengan berhemah agar tidak berlaku kejadian tidak diingini pada musim hujan ini.

Dalam pada itu, seramai lapan anggota bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada 11.41 pagi.

Komander Operasi Mohd Noorhakim Nordin berkata, mangsa dikeluarkan sebelum pasukan keluaran operasi (PKO) tiba dan dihantar ke HEBHK menggunakan ambulans. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini