comscore
Tumpuan :
Super Highlight

Remaja putus jari, kereta terbabas langgar pembahagi jalan

Anggota bomba memberi rawatan awal kepada seorang remaja lelaki yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Rasah menghala Ampang Pecah, dekat Kampung Napi, Kuala Kubu Bharu, petang tadi. – FOTO: NSTP

HULU SELANGOR: Seorang remaja lelaki putus jari kelingking selepas kereta yang dipandunya terbabit kemalangan di Jalan Rasah menghala Ampang Pecah dekat Kampung Napi, Kuala Kubu Bharu, petang tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Morni Mamat, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 5.44 petang.

Sepasukan enam anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Menurut laporan awal, kemalangan membabitkan sebuah kereta Nissan Sentra yang dipandu remaja lelaki berusia 17 tahun.

“Kenderaan mangsa dipercayai terbabas melanggar pembahagi jalan lalu terbalik,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mangsa bagaimanapun bertindak keluar sendiri daripada keretanya sebelum pihak bomba tiba di tempat kejadian.

Beliau berkata, selain jari kelingking putus, mangsa juga cedera di kaki kiri.

“Remaja lelaki itu kemudian diberi rawatan awal oleh pihak bomba sebelum dihantar ke Hospital Sungai Buloh,” katanya.

Loading...
Terkini