comscore
Tumpuan :
Tragedi

Runtuhan kren, polis sahkan tiada unsur jenayah

Dua lelaki tempatan maut manakala seorang lagi cedera dalam runtuhan kren di sebuah kilang di kawasan perindustrian Kampung Acheh, Sitiawan Perak dalam kejadian petang semalam – Foto Bomba

IPOH: Tiada unsur jenayah dalam kejadian runtuhan kren yang menyebabkan dua lelaki maut dan seorang cedera di sebuah kilang di kawasan perindustrian Kampung Acheh, Sitiawan, petang semalam.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata kejadian itu melibatkan empat pekerja termasuk seorang lelaki berusia 34 tahun yang patah kaki kanan dan seorang lagi berusia 36 tahun tidak mengalami kecederaan.

“Berdasarkan saksi, kedua-dua mangsa yang merupakan rakan sekerjanya sedang melakukan kerja pemotongan kren di tempat pelupusan sebelum secara tiba-tiba kren terjatuh lalu menghempap mereka sehingga mati di tempat kejadian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kerian daripada pemangku jawatan itu Timbalan Ketua Polis Daerah DSP Hudri Mohd Arshad kepada Supt Juna Yusoff di Mes Pegawai Kanan PDRM Perak di sini hari ini.

Mohd Yusri berkata operasi kilang itu dihentikan sementara sehingga siasatan di tempat kejadian selesai.

“Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Manjung untuk menerima rawatan dan bedah siasat ke atas dua mangsa maut akan dilakukan bagi mengetahui punca kematian hari ini,” katanya dan menambah kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Semalam, pihak bomba menerima maklumat mengenai runtuhan kren yang mengorbankan Abdul Rajim Hasmki, 33, dan Maiyden Asibin, 29.

Sementara itu, Mohd Yusri berkata polis sedang mengesan pihak yang membuang sebanyak 33 tong berisi cecair bahan kimia ditemukan di kawasan lapang berhampiran Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng semalam.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak dilaporkan berkata kesemua tong itu yang mengalami kebocoran dipercayai telah dibuang secara haram oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. – BERNAMA

Loading...
Terkini