comscore
Tumpuan :
Tragedi

Suami Isteri Maut Dalam Kemalangan Di JRTB

Foto: Orang Awam

Suami isteri maut manakala dua anak mereka cedera selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 76, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli di Gerik semalam.

Mangsa yang dikenali sebagai Mohd Azmi Imas, 47, dan isterinya Rohani Abdullah, 48, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala anak lelaki berusia 14 tahun dan perempuan berusia 18 tahun yang berada di tempat duduk penumpang belakang, mengalami patah tangan kiri serta luka ringan di tangan kanan.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata kemalangan melibatkan kereta jenis Nissan Latio, dinaiki keluarga yang berasal dari Kuala Berang, Terengganu berkenaan dengan kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton, yang dinaiki tiga lelaki yang berasal dari Kedah pada kira-kira pukul 8.15 malam.

“Siasatan awal mendapati kemalangan ini dipercayai berlaku apabila Mohd Azmi yang memandu dari arah Gerik, dipercayai telah hilang kawalan semasa melalui selekoh dan terbabas masuk ke kanan jalan serta telah melanggar kenderaan yang berada di laluan yang bertentangan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata akibat kemalangan itu, suami isteri itu disahkan meninggal di tempat kejadian oleh Pegawai Perubatan dari Hospital Jeli.

Mior Faridalathrash berkata kedua-dua anak mangsa bersama seorang lagi penumpang dari kenderaan pacuan empat roda itu yang berusia 48 tahun, turut dibawa ke hospital sama untuk dirawat.

Katanya siasatan lanjut sedang dilakukan bagi mengenal pasti punca kemalangan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.– BERNAMA

Loading...
Terkini