comscore
Tumpuan :
Super Highlight

Terkena renjatan elektrik ketika selamatkan mangsa nahas Perodua Myvi

Mohd Arifin Syamsuddin mengalami renjatan elektrik namun tidak menghiraukannya kerana memikirkan nyawa ahli keluarga. – FOTO: NSTP

KLUANG: Seorang lelaki yang cuba menyelamatkan ahli keluarganya di dalam Perodua Myvi terbabit nahas mengorbankan enam orang petang semalam, mendakwa mengalami renjatan elektrik ketika kejadian.

Mohd Arifin Syamsuddin, 32, berkata renjatan itu dipercayai berpunca daripada pagar yang ada di kawasan berair berkenaan.

“Ketika mahu menyelamatkan mereka, saya mengalami renjatan elektrik namun tidak menghiraukannya kerana memikirkan nyawa ahli keluarga saya lagi penting.

“Pakcik saya yang turut membantu pun mengalami renjatan elektrik dan membatalkan niatnya itu kerana mempunyai sakit jantung.

“Orang ramai yang ada di situ tak berani turun ke kawasan itu tetapi saya nekad menyelamatkan mereka satu persatu bermula dengan mendukung anak perempuan saya yang sudah terkulai diriba ibu saudaranya di kerusi penumpang hadapan,” katanya ketika ditemui di perkarangan Unit Perubatan Forensik Hospital Enche’ Hajjah Besar Khalsom, di sini, malam tadi.

FOTO: NSTP

Dalam nahas itu, anak sulungnya, Mohd Arifin, Mohd Ashraf Rafiq, 11, bersama sepupu mereka yang juga adik beradik, Muhammad Zharfan Noramin, 15 dan Muhammad Syakir, 10, di tempat duduk belakang turut terbunuh.

Adik iparnya, Siti Nurzannah Kahdar, 25, di tempat duduk hadapan dan Masrina Kahdar, 20, juga maut di samping, seorang lagi ahli keluarga iaitu Muhammad Adil Abdul Kahdir, 22. Kedua-duanya berada di tempat duduk belakang.

Sebelum kejadian, mereka berkonvoi menaiki tiga kenderaan berasingan dari Layang-layang menuju Mersing untuk menziarahi bapa saudara serta berkelah di Pantai Air Papan.

“Tiba di lokasi kejadian, tiba-tiba saya terdengar dentuman kuat dan terus melihat cermin sisi kereta, dan saya menjerit nama anak selepas mendapati ada kenderaan lain sudah melintang di tengah jalan.

“Saya tak nampak Perodua Myvi dipandu rakan Siti Nurzannah yang sebelum itu berada kira-kira 100 meter di belakang dan saya terus membuat pusingan U.

“Ketika sampai di lokasi nahas itu, kereta itu sudah terbalik di bahu jalan dan saya terus meluru keluar dari kereta untuk menyelamatkan mereka,” katanya yang memandu Perodua Bezza.

Mohd Arifin berkata, anaknya yang meninggal dunia itu tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap namun dia berasa hairan kerana anaknya bersungguh-sungguh memberi duit sebanyak RM40 bagi dibelanjakan untuk mereka bercuti.

“Selama ini kami sekeluarga tak pernah menaiki kereta berasingan tetapi entah kenapa anak saya berkeras mahu menaiki Perodua Myvi itu bersama sepupunya walaupun saya melarangnya,” katanya.

Jenazah anaknya itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Keramat, Kuala Lumpur, manakala kedua-dua adik iparnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 14, Hulu Langat, Selangor.

Semua mayat mangsa dijangka selesai proses bedah siasat dan dituntut oleh waris pada pagi ini.

Terdahulu, media melaporkan enam maut termasuk dua kanak-kanak selepas sebuah Perodua Myvi dinaiki lapan individu terbabit kemalangan dengan sebuah kenderaan lain di Batu 13 Jalan Mersing-Kluang, petang semalam. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini