comscore
Tumpuan :
Tragedi

Tiga Cedera Selepas Bumbung Asrama Runtuh

Oleh Selwam Arjunan

GEORGE TOWN: Tiga penghuni asrama di Wisma Yatim Perempuan Pulau Pinang di Jalan Scotland, di sini, cedera selepas sebahagian bumbung bangunan berkenaan runtuh, malam tadi.

Mangsa berusia 8, 10 dan 13 tahun itu dilaporkan berada dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan awal.

Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Jamil Abdullah berkata kejadian berlaku kira-kira jam 9.40 malam.

Pemeriksaan mendapati bumbung di tingkat satu premis runtuh, menyebabkan tiga mangsa mengalami kecederaan pada belakang badan dan kepala.

“Ketika bomba sampai di lokasi mangsa telah pun dibawa keluar, kami seterusnya membawa penghuni lain ke kawasan yang lebih selamat dan menghantar mangsa yang cedera ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Seramai 30 penghuni, kesemuanya anak yatim tinggal di bangunan berkenaan, namun pada masa kejadian hanya sembilan orang berada di premis, manakala bakinya keluar ke kelas tuisyen.

Mangsa telah diselamatkan oleh warden bertugas dan penghuni lain yang berada di tingkat bawah.

Salah seorang penghuni, Nurul Hawa Abdullah, 13, berkata dia merasai gegaran sebelum runtuhan.

“Masa itu saya tengah sembang dengan kawan, lepas itu rasa macam pelik, rasa getar-getar dan tiba macam ada benda jatuh, lampu terpadam dan terus bumbung runtuh. Kami terkejut dan takut, lari turun bawah panggil ustaz,” katanya.

Warden asrama, Noorniah Abu Bakar yang bertugas malam tadi berkata dia dan seorang lagi petugas bergegas ke tingkat atas untuk mencari mangsa.

“Dengar macam ada yang runtuh, lepas itu budak-budak kata bumbung runtuh. Lari ke atas tengok dah boleh nampak langit. Kami cari budak-budak, ustaz dengar bunyi lepas itu jumpa budak yang cedera. Agak teruk juga, sebab dia tidak boleh bergerak,” katanya.

Penghuni lain difahamkan akan dipindahkan ke Wisma Yatim Lelaki Pulau Pinang di Air Itam buat sementara waktu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Soffian Santong berkata bangunan berkenaan ditutup sementara sehingga disahkan selamat untuk diduduki.

Loading...
Terkini