comscore
Tumpuan :
Tular

Ali Puteh mahu mohon maaf

Ali atau nama sebenarnya, Syed Ali Mubarak Syed Mohd Rizuan ketika ditemu bual TV3, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR: Pelawak Ali Puteh mahu berjumpa kakak iparnya untuk memohon maaf.

Keputusan itu dibuat kerana enggan memanjangkan kontroversi berhubung dakwaan membolot harta abangnya, Allahyarham Abam Bocey.

Ali atau nama penuhnya, Syed Ali Mubarak Syed Mohd Rizuan, 31, memaklumkan dia merancang berjumpa kakak iparnya, Siti Nurhidayah Mohd Ali bagi menyelesaikan kemelut itu.

“Sekiranya keadaan menjadi bertambah teruk, kami akan kumpulkan semua wang sedekah orang ramai dan serahkan kepada Nurhidayah di rumahnya.

“Di situ permohonan maaf antara kami akan berlaku, ia akan dibuat secara tertutup kerana kami tidak mahu lagi aib keluarga terus dijaja,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Ali turut membuat permohonan maaf kepada kakak iparnya membabitkan  status laman sosialnya yang kasar dan beremosi, baru-baru ini.

“Saya mendapat tahu mengenai kenyataan Nurhidayah apabila ramai yang menelefon saya untuk bertanya. Saya sangat terkejut dan mengucap panjang.

“Dalam keadaan marah, saya terus memuat naik status itu. Pada kesempatan ini, saya ingin meminta maaf kepada kakak ipar atas kesilapan yang dilakukan,” katanya.

Kontroversi isu membolot harta tercetus apabila Nurhidayah dalam temubual secara langsung melalui instagram usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri, mendakwa ada beberapa kekangan yang dihadapinya selepas arwah suaminya meninggal dunia.

Bagaimanapun, Ali menafikan dakwaan dia mahu membolot harta sambil menyatakan alasan berbuat demikian.

Diminta mengulas mengenai Aliff, yang didakwa menjadi dalang di sebalik kontroversi yang timbul, Ali meminta ahli perniagaan itu bertaubat.

“Bertaubatlah Aliff, selagi pintu taubat masih terbuka. Tindakannya memecah belahkan hubungan kekeluargaan kami.

“Saya juga berharap dia dapat berjumpa dengan ibu saya dan memohon maaf padanya,” katanya.

Loading...
Terkini