comscore
Tumpuan :
Nasional

Andalusia nafi terbabit isu penipuan umrah

Pejabat Andalusia Travel & Tour Sdn Bhd di Kampung Pandan, Kuala Lumpur. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia) menafikan pihaknya terbabit dengan isu penipuan umrah seperti dilaporkan sebuah portal tempatan.

Andalusia menerusi kenyataan memaklumkan, portal terbabit menggunakan gambar jemaah daripada agensi itu yang sedang menunggu penerbangan berlepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tanpa keizinan pihaknya.

“Perkara itu sekali gus mencemarkan reputasi dan nama baik perniagaan syarikat kami.

“Penggunaan gambar jemaah umrah dan beg-beg bagasi yang jelas menunjukkan nama Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd adalah suatu fitnah yang tiada kaitan dengan kandungan terbitan berkenaan.

“Ia menimbulkan keresahan ke atas jemaah yang gambar mereka diterbitkan itu serta bakal jemaah Andalusia lain yang masih menunggu tarikh penerbangan masing-masing,” katanya.

Susulan itu, pihak Andalusia meminta portal berkenaan menarik balik artikel berkenaan dengan segera dan disertai permohonan maaf secara terbuka.

“Portal berkenaan wajib menyiarkan dalam setiap platform penerbitan berkaitan berserta penjelasan bahawa kandungan penerbitan berkenaan adalah langsung tiada kaitan dengan mereka.

“Andalusia juga menafikan laporan mengenai penipuan pakej umrah sehingga RM95,000 ada kaitan dengan mana-mana jemaah Andalusia dan bakal mengambil tindakan undang-undang tuntutan fitnah,” katanya. – BERITA HARIAN

 

Loading...
Terkini