Tumpuan :
Nasional

Bergaduh dek kerana motor bergesel

Foto tular

JOHOR BAHRU: Dua lelaki ditahan kerana disyaki terbabit dalam insiden pergaduhan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini, 22 Mei lalu.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang, dua suspek lelaki yang juga penunggang motosikal warga tempatan dan bekerja di Singapura, bergaduh selepas berlaku pergeselan motosikal ketika di laluan motosikal bangunan itu dari arah Singapura memasuki Malaysia.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, selepas cabar mencabar, kedua-dua suspek bergerak ke arah luar bangunan dan kemudian mula bertumbuk.

“Kejadian ini berpunca apabila seorang daripada mereka yang berada di belakang tergesel motosikal seorang lagi suspek ketika lalu di laluan motosikal CIQ, BSI.

“Akibat tidak berpuas hati, berlaku cabar mencabar antara mereka berdua yang kemudian ajak bergaduh di luar daripda laluan motosikal itu.

“Tiba di luar (bangunan), mereka mula bertumbuk seperti yang boleh disaksikan dalam video tular,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) JBS di sini, hari ini.

Beliau berkata, suspek pertama berusia 27 tahun kini masih dalam tahanan reman selama empat hari sehingga esok.

Katanya, suspek pertama mempunyai dua rekod lampau kes dadah dan ketika ditahan juga didapati positif ganja.

“Semalam, seorang lagi suspek berusia 34 tahun ditahan di sekitar daerah ini dan perintah remannya akan dipohon hari ini,” katanya.

Menurut Raub, tiada kecederaan dilaporkan ketika kejadian, namun terdapat penggunaan senjata ketika itu menyebabkan polis menyiasat kes mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, tular satu video berdurasi 14 saat di laman media sosial yang memaparkan pergaduhan di laluan keluar motosikal dari BSI membabitkan dua penunggang motosikal sambil dihalang penunggang motosikal yang lain.
ENDS

Loading...
Terkini