comscore
Tumpuan :
Tular

Bukan Kes Culik Tapi Curi Sarang Burung Walit

SIMUNJAN: Kes lelaki dibelasah penduduk di Kampung Sungai Ladong, Sebuyau, di sini, kelmarin, tiada kaitan dengan kes culik kanak-kanak sebaliknya membabitkan suspek kes curi sarang burung walit.

Pemangku Ketua Polis Daerah Simunjan, Asisten SuperintendanHonchin Ludu berkata, gambar dan video yang ditularkan adalah kes pecah rumah sarang burung walit yang berlaku di Kampung Sungai Ladong, Selasa lalu.

“Pada hari Rabu pihak Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Simunjan telah mengesan beberapa hantaran yang dimuat naik di media sosial.

“Video dan gambar yang tular menyatakan telah berlaku kes culik yang melibatkan kanak-kanak di Kampung Sungai Ladong , Sebuyau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, polis menyifatkannya sebagai tidak berasas kerana gambar dan video yang ditularkan adalah kes pecah rumah sarang burung di Kampung Sungai Ladong.

“Dua suspek berusia sekitar 50-an ditangkap manakala seorang lagi masih bebas.

“Kedua-dua mereka ditahan reman selama lima hari di lokap IPD Simunjan, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun keseksaan kerana pecah rumah dan curi,” tegasnya. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini