comscore
Tumpuan :
Tular

Cubaan Culik Di Kuala Lipis Mungkin Salah Faham

Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Polis Pahang menyiasat kemungkinan wujud elemen salah faham dalam cubaan culik yang didakwa membabitkan dua kanak-kanak di Kuala Lipis, Pahang pada petang Ahad lalu.

Bagaimanapun, Ketua Polis negeri, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata pihaknya masih menunggu siasatan lengkap pegawai penyiasat mengenai kes itu.

Berdasarkan siasatan awal, katanya Proton Wira berwarna merah dipandu seorang lelaki yang dilaporkan dalam kejadian itu melalui laluan kampung yang terlalu sempit.

“Berdasarkan siasatan terkini, kenderaan dipandu lelaki yang disyaki suspek dalam kes ini hanyalah seorang individu dan tiada penumpang lain.

“Malah laluan dituju kenderaan berkenaan juga jalan mati dan sukar sekiranya lelaki itu ingin melakukan penculikan dan berpatah balik kerana mungkin dia berhadapan risiko ditahan,” katanya ketika dihubungi BH hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial mengenai seorang kanak-kanak yang menjadi ‘hero’ apabila menyelamatkan rakannya daripada menjadi mangsa culik.

Kejadian berlaku kira-kira jam 7.15 petang Ahad lalu, ketika dua sahabat itu dalam perjalanan pulang ke rumah selepas bermain bola di padang Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram Landak di sini.

Ramli berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan ada salah faham dalam kejadian itu.

“Ini kerana faktor laluan berkenaan sempit menyebabkan pemandu kenderaan itu seolah-olah cuba menguis tangan kanak-kanak terbabit bagi mengelak dia rapat ke tengah jalan sehingga berlakunya kejadian kemalangan.

“Selain itu kita juga turut mengambil kira faktor mengapa lelaki yang disyaki suspek itu tidak memberhentikan kenderaan dan membunyikan hon kepada dua kanak-kanak terbabit,” katanya.-BERITA HARIAN

Loading...
Terkini