comscore
Tumpuan :
Jenayah

Iklan guna gambar Fadillah, polis buka kertas siasatan

Gambar Datuk Seri Fadillah Yusof dalam iklan skim pelaburan.

KUCHING: Polis membuka kertas siasatan berhubung penyebaran gambar Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang dijadikan sebagai poster iklan skim pelaburan patuh syariah di media sosial.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, siasatan itu dijalankan selepas pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan, kira-kira jam 6.45 petang, semalam.

Beliau berkata, iklan berkenaan dimuat naik di laman sosial Facebook bagi mempromosikan dengan menggunakan gambar Fadillah bagi menarik minat orang ramai untuk menyertai skim pelaburan itu.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

“Selain itu, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia Malaysia 1998 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih satu tahun atau denda tidak lebih RM50,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Sementara itu, Fadillah dalam hantaran di akaun Facebooknya turut kesal dengan perbuatan pihak terbabit yang mengeksploitasikan gambarnya di dalam iklan berkenaan.

“Merujuk kepada penyebaran poster Pelaburan Patuh Syariah yang menggunapakai gambar saya dan dikongsikan di media sosial, saya ingin menyatakan bahawa saya tidak terlbabit dengan pelaburan berkenaan dan saya tidak pernah memberi izin kepada mana-mana pihak untuk menggunakan gambar saya.

“Saya telah mengarahkan Pegawai Khas saya di Pusat Khidmat P194 Petra Jaya untuk membuat laporan polis mengenai penyebaran poster berkenaan,” katanya.

Menurut Fadillah, poster palsu yang sama pernah disebarkan melalui perkongsian di media sosial tahun lalu oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Laporan polis juga pernah dibuat oleh pegawai saya pada 3 September 2022 mengenai penyebaran poster berkenaan di media sosial,” katanya.

Loading...
Terkini