comscore
Tumpuan :
Tular

[VIDEO] Kanak-kanak dipercayai mangsa dera ditemui di tepi jalan

KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak lelaki disyaki mangsa dera ditemui ditinggalkan bersendirian di tepi jalan simpang tiga berhampiran Apartmen Cheras Utama, Batu 9 Cheras dekat sini, semalam.

Kanak-kanak dianggarkan berusia antara tiga hingga empat tahun itu ditemui seorang lelaki yang kemudian melaporkan perkara itu kepada pihak polis melalui talian MERS999 kira-kira jam 11.30 malam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, berkata pengadu berusia 36 tahun itu memaklumkan kanak-kanak itu ditemui sedang duduk seorang diri tanpa penjaga di tepi jalan simpang tiga berkenaan.

Seorang kanak-kanak lelaki disyaki mangsa dera ditemui ditinggalkan bersendirian di tepi jalan simpang tiga berhampiran Apartmen Cheras Utama, Batu 9 Cheras dekat sini, semalam.

Beliau berkata, kanak-kanak itu ditemui dalam keadaan berpakaian lengkap dan pengadu menemui beberapa kesan kecederaan pada tubuh, tangan dan dahi kanak-kanak terbabit.

“Kanak-kanak berkenaan kemudian dibawa ke Balai Polis Batu 9 oleh anggota polis Ronda Cegah Jenayah (RCJ) dan hasil pemeriksaan lanjut, tidak menemui sebarang butiran mengenai kanak-kanak itu.

“Kita mengesyaki kanak-kanak itu anak warga negara asing kerana tiada mempunyai sebarang kesan suntikan vaksin di bahu dan mangsa juga tidak memahami serta tidak dapat berkomunikasi dalam bahasa tempatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mangsa kemudian dirujuk dan ditempatkan di Wad Kanak-kanak Hospital Kajang bagi rawatan lanjut.

“Hasil pemeriksaan awal pegawai perubatan mangsa berada di dalam keaadan sihat dan stabil. Kes ini juga sudah dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Hulu Langat.

“Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 kerana mempunyai elemen penderaan dan pengabaian terhadap kanak-kanak.

“Kita menggesa supaya orang awam atau mana-mana individu yang mempunyai maklumat tentang kejadian ini memaklumkan kepada pihak polis untuk membantu siasatan,” katanya.

Mohd Zaid berkata, maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi mana-mana balai polis yang berdekatan atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Zaiyaudi bin Mohd Yaakub di talian 019-5355395.

Terdahulu, tular satu rakaman video di media sosial berhubung penemuan kanak-kanak berkenaan.

Loading...
Terkini