comscore
Tumpuan :
Nasional

Kes laung azan bukan di Malaysia – MCMC

Video berdurasi 2 minit 27 saat yang tular di platform media sosial.

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengesahkan video seorang lelaki melaungkan azan yang tular di laman sosial bukan berasal dari Malaysia.

Jabatan Komunikasi Korporat SKMM memaklumkan, hasil semakan yang dibuat ke atas video berkenaan mendapati video itu berasal dari luar negara dan ditularkan semula seolah-olah ia berlaku di Malaysia.

“Video sedemikian dilihat sebagai satu kandungan yang mengancam yang boleh mengundang ketegangan antara masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara ini.

“Sehubungan itu, orang ramai diingatkan supaya tidak menyebarkan kandungan berkenaan kerana dikhuatiri boleh menggambarkan konteks tidak tepat serta boleh digunakan oleh individu atau pihak tidak bertanggungjawab dalam melakukan provokasi antara agama di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini

Justeru, SKMM meminta orang ramai untuk tidak menokok tambah kapsyen yang bersifat spekulatif dan provokatif dan menyalurkan atau melaporkan kepada pihak berkuasa untuk perhatian serta tindakan selanjutnya.

“Penyebaran kandungan berbaur provokasi dengan niat menyebabkan ketidakharmonian, perpecahan, kebencian, prejudis terhadap mana – mana kaum atau agama boleh menjadi kesalahan di bawah Kanun Keseksaan Akta 574 yang boleh dikenakan hukuman denda atau penjara, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

“Orang ramai juga diingatkan untuk sentiasa cakna, berhati-hati dan elakkan daripada memuat naik sebarang kandungan yang boleh menyentuh sensitiviti agama demi keharmonian dalam negara,” katanya.

Terdahulu, sebuah video berdurasi 2 minit 27 saat memaparkan seorang lelaki melaungkan azan dengan pakaian dan dalam keadaan mengundang tanggapan negatif netizen.

Loading...
Terkini