comscore
Tumpuan :
Tular

Sekeluarga Hidup Ketakutan, Dua Lelaki Lepas Tembakan Ke Rumah

Tangkap layar video tular.

IPOH: Sekeluarga hidup ketakutan apabila dua lelaki bermotosikal melepaskan tembakan ke arah kediaman mereka di sebuah kawasan perumahan di Sitiawan, Manjung, tengah hari semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri, berkata insiden tembak itu bagaimanapun tidak mengakibatkan kecederaan atau kehilangan nyawa namun menyebabkan kerosakan pada cermin kereta dimiliki keluarga itu yang diletakkan di kawasan rumah berkenaan.

Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku pagi semalam apabila seorang wanita yang mendiami rumah berkenaan terdengar bunyi letupan namun tidak mengendahkannya sebelum menyedari letupan itu berpunca daripada tembakan ketika ingin keluar rumah kira-kira 12.45 tengah hari.

“Aduan mengenai insiden diterima daripada rakan kepada keluarga kira-kira jam 1.07 tengah hari semalam. Hasil pemeriksaan dijalankan Bahagian Forensik (D10) Jabatan Siasatan Jenayah Perak mendapati terdapat kesan lubang pada bahagian cermin belakang kereta berkenaan dipercayai akibat terkena tembakan selain menemukan kelongsong peluru di tempat kejadian.

“Kepala peluru dijumpai di kawasan bonet belakang kenderaan terbabit,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata pemeriksaan pada kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran kawasan kejadian mendapati dua lelaki bermotosikal jenis Yamaha Y15 tanpa nombor pendaftaran melepaskan satu das tembakan yang mengenai kereta mangsa.

“Suspek kemudiannya cuba melepaskan tembakan ke arah hadapan rumah, namun pistol suspek dipercayai gagal berfungsi yang lantas menyebabkan kedua-dua suspek itu melarikan diri.
“Penghuni rumah berkenaan terdiri daripada seorang lelaki, isterinya, serta dua anak mereka,” katanya.

Mohd Yusri berkata, motif kejadian masih disiasat dengan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintendan Mohd Azalan Ab Karim di talian 019-3927837 atau menghubungi mana-mana balai polis berhampiran. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini