comscore
Tumpuan :
Tular

Tak Sedar Anak Di Belebas Tingkap

Kejadian kanak-kanak serta bayi yang dilihat berada di balkoni tingkap di sebuah kediaman di sebuah pangsapuri di Setapak, Kuala Lumpur yang tular.


KUALA LUMPUR: Ibu bapa kepada kanak-kanak berusia empat dan dua tahun tidak menyedari anak mereka berada di belebas tingkap dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Setapak, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah berkata, hasil siasatan mendapati, ibu bapa kanak-kanak terbabit berada di kediaman berkenaan.

“Hasil siasatan mendapati, ketika kejadian, ibu bapa mangsa berada di dalam rumah dan tidak menyedari kejadian berlaku.

“Ibu-bapa kanak-kanak terbabit sudah dipanggil untuk dirakam percakapan oleh pegawai penyiasat dan sudah dibenarkan pulang malam tadi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, polis menasihati ibu bapa supaya tidak meninggalkan anak kecil bersendirian tanpa pengawasan kerana perbuatan itu boleh dianggap sebagai satu kecuaian mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 yang mana jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 10 tahun, atau kedua-duanya sekali .

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini boleh menyalurkannya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Semalam, polis sedang mengesan ibu bapa atau penjaga kanak-kanak yang dilihat berada di belebas tingkap sebuah kediaman di sebuah pangsapuri di Setapak, di sini.

Ia susulan video berdurasi 11 saat menunjukkan seorang kanak-kanak serta seorang bayi dilihat berada di belebas tingkap kediaman terbabit yang tular di media sosial.

Dalam video itu juga, kanak-kanak berkenaan dilihat seperti cuba melompat dari belebas tingkap berkenaan. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini