comscore
Tumpuan :
Tular

Tapir sesat di parkir hotel

Foto: Ihsan Bomba

BANDAR HILIR: Pasukan bomba dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) mengambil masa lebih lima jam bagi menangkap tapir betina yang berkeliaran di kawasan tempat letak kenderaan hotel di Bandar Hilir, di sini, hari ini.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah, Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Sofian Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan pada 9.04 pagi sebelum sepasukan lapan anggota bergegas ke lokasi kejadian.

“Kita kemudian menghubungi PERHILITAN bagi memaklumkan kehadiran haiwan itu dan mendapatkan bantuan bagi operasi menangkap.

“Haiwan berkenaan ketika itu sedikit agresif dan kami meminta kepada pengurusan hotel untuk tidak membenarkan pengunjung meletakkan kereta di kawasan itu.

“PERHILITAN juga terpaksa membiusnya tiga kali sebelum ia rebah selain terdapat kereta pengunjung yang mengalami kerosakan akibat disondol,” katanya.

Sementara itu Pengarah PERHILITAN negeri Mohd Firrdhaus Mahmood berkata, pasukannya sudah bersedia di lapangan untuk digerakkan pada bila-bila masa selepas menerima beberapa aduan sebelum ini.

“Sebenarnya kita sudah mengesannya kira-kira dua minggu lalu selepas menerima beberapa aduan tetapi tidak dapat mengesan kedudukan sebenar haiwan itu.

“Kita syaki ia tersesat selepas keluar dari hutan untuk mencari makanan sebelum berkeliaran dan sampai ke tingkat lima dengan melalui tangga bahagian tepi hotel,” katanya.

Menurutnya, dipercayai tapir itu mungkin dari sempadan negeri di Asahan, Jasin.

Untuk sementara waktu, ia akan diletakkan di Zoo Melaka sebelum dihantar ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan di Sungkai, Perak.

Loading...
Terkini