comscore
Tumpuan :
Tular

Tiada Cubaan Culik Di Tadika, Jangan Sebar Maklumat Palsu

Gambar hiasan.

JOHOR BAHRU: Polis mengesahkan tiada cubaan culik kanak-kanak yang berlaku di sebuah tadika di Bandar Baru Uda, di sini seperti tular di media sosial.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintendan Fariz Ammar Abdullah berkata, pihaknya melakukan siasatan semalam dan sudah mengenal pasti individu yang memuat naik hantaran mendakwa kejadian berkenaan dalam kumpulan WhatsApp komuniti setempat.

“Pihak polis telah melawat tempat kejadian dan beberapa individu yang berkaitan juga telah ditemubual dan hasilnya sehingga kini, kita tidak menerima sebarang aduan berlakunya kejadian seperti mana yang dimaksudkan.

“Malah tiada individu yang tampil ke hadapan yang boleh mengesahkan adanya cubaan culik atau kehilangan anak seperti yang didakwa pihak berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Fariz Ammar turut menasihati orang ramai supaya tidak mudah mempercayai mesej tular dan menyebarkannya kerana boleh mengganggu gugat ketenteraman awam.

“Mana-mana individu yang didapati menyebarkan berita palsu boleh didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini