comscore
Tumpuan :
Tular

Tiga ‘sahabat’ larikan Myvi mangsa kemalangan ditangkap

FOTO: Tangkap layar video kejadian tular mengenai kes melarikan sebuah kereta jenis Perodua Myvi di sebuah kawasan parkir pangsapuri, di Petaling Jaya pada Khamis.

PETALING JAYA: Polis menahan tiga lelaki yang melarikan sebuah kereta milik seorang lelaki yang baru menjadi mangsa kemalangan, dari tempat letak kereta sebuah pangsapuri, dekat Petaling Jaya, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood, berkata ketiga-tiga suspek berusia antara 32 hingga 39 tahun ditahan dalam serbuan berasingan di sekitar Puchong dan Petaling Jaya, awal pagi semalam.

“Tangkapan dibuat dalam serbuan di sebuah hotel di Bandar Sunway, sebuah flat di Puchong dan Jalan PJS 6/1A, Petaling Jaya, antara jam 6 hingga 7 pagi semalam.

“Ia susulan laporan polis dibuat mangsa berusia 25 tahun berhubung kejadian sebuah PERODUA Myvi miliknya dilarikan tiga lelaki, kira-kira jam 2 pagi, Khamis lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, satu rakaman video menunjukkan insiden ketika kereta mangsa dilarikan, tular di media sosial.

Menurut kapsyen bersama video itu, ketika kejadian, mangsa yang bekerja sebagai penghantar makanan dikatakan baru pulang dari hospital selepas mendapatkan rawatan patah kaki akibat dilanggar sebuah kenderaan.

Mengulas lanjut, Ku Mashariman berkata, ketiga-tiga suspek memakai topi keledar berpenutup gelap serta pelitup muka ketika melarikan kereta mangsa, selain mengugut mangsa dengan sebilah parang.

“Menerusi tangkapan itu, kita menemui semula kereta mangsa yang dilarikan selain merampas beberapa telefon bimbit, satu senjata tajam dan motosikal yang digunakan dalam kejadian.

“Semakan mendapati kesemua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah dan jenayah,” katanya.

Difahamkan, ketiga-tiga suspek adalah rakan rapat dan tinggal berhampiran sekitar Taman Medan dan Kampung Dato Harun, Petaling Jaya.

Beliau berkata, permohonan reman ke atas semua suspek dibuat hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan.

Loading...
Terkini