comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Tular kes gaduh: Polis tahan 6 suspek termasuk wanita

JOHOR BAHRU: Enam suspek termasuk seorang wanita ditahan polis berhubung kes pergaduhan yang tular di media sosial.

Dalam satu kenyataan, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh memaklumkan, pihaknya mengesan video berdurasi 28 saat itu dimuat naik pengguna media sosial yang memaparkan pergaduhan sekumpulan lelaki.

Tangkap layar video tular

“Siasatan yang dijalankan mendapati kejadian berlaku jam 11.40 malam kelmarin di kawasan Tampoi dan susulan itu, kita berjaya menahan lima lelaki dan seorang wanita warga tempatan.

“Mereka berusia lingkungan 24 hingga 35 tahun,” katanya.

Beliau berkata, semua suspek kini direman empat hari bermula hari ini hingga Rabu untuk siasatan mengikut Seksyen 148, Seksyen 365 dan Seksyen 385 Kanun Keseksaan.

“Kita masih lagi dalam proses mengenal pasti (punca pergaduhan) dan dalam tindakan mengesan beberapa lagi suspek yang masih bebas,” katanya.

Ditanya dakwaan warganet bahawa pergaduhan itu susulan kes pelajar di Kempas dibaling pemadam pensel baru-baru ini, Balveer Singh memaklumkan pihaknya masih menjalankan siasatan.

Beliau menasihati orang ramai supaya tidak mensensasikan isu berkenaan sehingga boleh memudaratkan ketenteraman awam.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkan maklumat kepada Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Risman Sahid di talian 019-7766043,” katanya.

Terdahulu, video tular di Twitter menunjukkan sekumpulan lelaki memukul seorang mangsa dan mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman.

Loading...
Terkini