comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Oyen ke jabatan kecemasan minta rawat kaki cedera, curi tumpuan netizen

BATU CAVES: Kucing berwarna oren yang digelar ‘Oyen’ dan mengalami kecederaan di tangan mencuri tumpuan netizen di TikTok apabila datang ke wad kecemasan Hospital Selayang, di sini, seolah-olah mahu mendapatkan rawatan.

Video Oyen yang datang ke hospital berkenaan dengan jalan terhincut-hincut itu dikongsi di akaun TikTok @enoasan2 yang meraih 851,700 tontonan dan ribuan komen yang ada sedih dan terhibur serta turut memuji tindakan petugas hospital.

Berdasarkan kapsyen video berkenaan, haiwan berkenaan dikatakan ke hospital bagi mendapatkan rawatan untuk tangannya yang cedera sebelum dibantu petugas hospital.

@enoasan2

kisah seekor kucing bernama oyen pergi hospital selayang nak wat rawatan tangan nye cedera x tau sebab ape, terbaik nurse2 kat sini amat sporting sekali, dengan haiwan pun diaorg bantu juga memberikan rawatan terbaik.. #oyen #kucing #hospitalselayang #oyensakit

♬ Sad background music of piano and strings – Rinotzr

“Kisah seekor kucing bernama Oyen pergi Hospital Selayang nak buat rawatan tangannya cedera (yang) tak tahu sebab apa, terbaik ‘nurse’ (jururawat) kat sini ‘sporting’ sekali, dengan haiwan pun diorang (mereka) bantu juga memberikan rawatan terbaik,” tulisnya di kapsyen video berkenaan.

Video berdurasi 47 saat itu memaparkan Oyen mengiau dan kapsyen di dalam video berkenaan menulis kucing itu seolah-olah mengadu tangannya luka dan memerlukan rawatan.

Katanya, seorang jururawat melalui kawasan itu sebelum segera membawa Oyen ke bilik rawatan dan kemudiannya tangan kucing itu dilihat sudah dibalut dengan rapi.

“Oyen selepas keluar dari bilik rawatan dan lukanya dibalut. Dah ‘settle’ (sudah selesai) lukanya dibalut barulah Oyen pergi. Terima kasih ‘nurse’ Hospital Selayang,” tulisnya.

Seorang pengguna TikTok, cikocheshire berkata, sudah ada insan baik hati yang menjaga kucing berkenaan namun dia tidak sempat mengambil gambar wanita terbabit dan meminta netizen mendoakan keluarga individu itu dimurahkan rezeki.

Individu menggunakan akaun TikTok bernama Watankari berkata, dia berkerja di kawasan berhampiran dan kucing itu datang ke tempatnya berkerja sejak setahun lalu serta mengakui Oyen manja dan suka mengikut orang.

Pengguna TikTok dikenali Ieta turut berasa kasihan terhadap Oyen dan mengakui dia tidak boleh melihat kucing dalam keadaan seperti itu serta mudah menangis.

@Shy shye pula menulis “kucing pun bijak, Allah gerakkan hati ‘nurse’ itu bantu makhluk lain yang perlukan bantuan. Murah rezeki yang membantu,” tulisnya di ruangan komen.

Loading...
Terkini